Thursday, January 5, 2012

Sekadar Pesanan

Semalam saya dan keluarga menziarahi Ayah angkat suami saya. 'Bapak' yang sudah tua, 87 tahun tinggal bersama isterinya yang lumpuh di sebuah rumah di hujung kampung. Seorang tua yang banyak ilmu agamanya, menanti hari penghujung usia, masak sekadar apa yang ada, tidak dapat memenuhi jemputan walaupun apa jua acara kerana menjaga isteri yang lumpuh tidak berdaya.

Setiap kali menjenguk, tersentuh hati saya dengan perkataan-perkataannya yang membayangkan kasih sayangnya kepada isterinya. Tiada apa lagi yang penting dalam hidupnya, kecuali ibadatnya kepada yang Maha Esa dan melalui hari-ke-hari bersama isterinya yang lumpuh. Sesekali Bapak tidak sihat, demam dan sakit urat, tapi digagahi juga kudratnya kerana erti hidup pada dia, hanya berbakti kepada Allah dan juga isterinya.

Jatuh air mata dia dan isteri setiap kali kami meminta diri untuk pulang. Setiap kali itu juga, diangkat tangan berdoa meminta Allah menjaga dan merahmati kami sekeluarga. Sangat sebak kerana usaha kami sebenarnya tidak ada apa-apa.

Semalam, sebelum kami naik kereta.. dia berpesan; "Anak-anak, jaga diri baik-baik, pandu kereta baik-baik.. lagi-lagi di bulan Safar ini, di bulan Safar ni Nak.. Allah menurunkan 150 bala ke atas kaum-kaum yang tidak diperkenanNya". Allahuakbar. Terima kasih Bapak. Patutlah di dada akhbar, hanya musibah sahaja yang kita baca. Baik kemalangan yang meragut 4 adik-beradik, kematian 4 sekeluarga yang dibunuh ngeri, kebakaran yang meragut nyawa 3 ahli keluarga, tanah runtuh di sana-sini.. dan Nauzubillah, mungkin banyak lagi.

Sahabat-sahabat tersayang, pesanan Bapak, saya panjang-panjangkan. Jagalah diri baik-baik ya. Berdoalah setiap kali memulakan perjalanan atau sesuatu pekerjaan. Semoga Allah memelihara kita dari kecelakaan dan musibah yang tidak diigini. Amin.. Amin..





No comments:

Post a Comment