Sunday, February 12, 2012

Allah Maha Mendengar

Saya orang baru di dalam qariah di taman rumah saya. Sejak berhenti kerja tahun lepas, saya banyak menghabiskan masa dengan kek-kek saya. Rasa macam 24 jam tak cukup. Namun, selalu berniat di dalam hati, agar saya diberi kesempatan masa seluang dua untuk belajar mengaji semula. Allah Maha Mendengar, kesempatan terserempak dengan seorang kakak jiran rupanya melorongkan saya kepada aktiviti keagamaan dan jalinan ukhwah setempat saya.

Saya telahpun menghadiri 'mesyuarat pertama' untuk tahun ini. Telahpun dibentangkan aktiviti-aktiviti sepanjang tahun. Kelas bahasa Arab / Ulum, kelas Fardhu Ain, kelas Tajwid, Marhaban, Berzanji selain sambutan Maulid adalah antara pengisian program.

Saya telahpun menghadiri 2 kelas setakat ini, dan saya sangat rasa-Ya-Allah-banyaknya yang-saya-belum-tahu. Biasanya ahli-ahli Qariah adalah surirumah yang tidak bekerja, dan saya percaya mereka-mereka berqariah atas dasar ukhwah, menambah ilmu dan mencari redha Allah. Aduhai, dalam 'gah' saya yang kononnya pernah bekerja di sektor korporat dan mengenali serta tahu bermacam-macam ilmu dunia, benar.. saya kagum dan sebenarnya malu (rasa-nak-menyorok-kepala-dalam-cengkerang lagak si kura-kura) dengan kakak-kakak surirumah itu, atas pengetahuan mereka tentang bermacam-macam perkara agama, berbahasa arab, berzanji, bertadarus dengan tajwid yang betul.. tentang banyak ilmu akhirat yang perlu untuk hidup di dunia.

Ya Allah, permudahkan lah urusan pembelajaranku. Sesungguhnya aku adalah seorang hambaMu yang jahil, berikanlah kesihatan yang baik, ketenangan hati dan perasaan dan berikanlah rasa cinta, sayang dan kasih kepada ilmu agamaMu. Ya Allah, gerakkanlah hatiku bagi memperbanyakkan amal di rumah-rumah ibadahMu Ya Allah. Ya Allah, Kaulah penciptaku dan aku hanyalah hambaMu yang hina dan tidak berpengetahuan. Aku berserah kepadamu Ya Allah. Permudahkanlah urusanku dalam mempelajari ilmu-ilmu yang mendekatkan diriku kepadaMu ya Allah. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.

1 comment:

  1. Its really true long. We thot we r great when we r working! Kekononnya lebih kenal dunia korporat with all those VIP contacts. Tapi bila dah tak keja join the housewife group, masyallah betapa jahilnya & byk perkara yg kita tak tahu. Dulu always ingat housewife zero IQ but indeed ilmu penuh didada. Memang byk kena belajar lagi especially ilmu akhirat...

    ReplyDelete